Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Kalam muqaddimah penulis, "BERTAQWALAH KEPADA ALLAH DENGAN SEBENAR-BENAR TAQWA, DENGAN MELAKSANAKAN SEGALA SURUHANNYA DAN MENINGGALKAN SEGALA LARANGANNYA, MOGA-MOGA TERGOLONG DALAM KALANGAN ORANG YANG BERUNTUNG"
Sidang pembaca yang dirahmati Allah,
Walau kita mencuri sebanyak harta karun sekalipun, walau kita sejahat firaun sekalipun, walau kita sezalim namrud sekalipun, kita perlu mengetahui bahawa ALLAH PEMILIK SEKALIAN ALAM, tidap pernah rugi walau sezarah di atas setiap perlakuan kita. Segala kemaksiatan tersebut tidak akan pernah menggugat keagungan dan kemuliaan ALLAH RAJA SEGALA RAJA. Akan tetapi, yang akan rugi, yang merasa segala balasan dan azab itu adalah manusia itu sendiri yang sering dibuai nikmat dalam bermaksiat di muka bumi Allah ini. Di waktu itu, tiadalah nilai bagi seorang manusia itu, melainkan dirinya itu lebih hina daripada binatang ternakan bahkan lebih sesat lagi.
Demikianlah perenggan ringkas yang penulis titipkan buat pembaca sekalian, agar kita sentiasa beringat bahawa tiada apa yang kita perlukan di dunia ini, melainkan BERIBADAH KEPADA ALLAH DENGAN SEBENAR-BENAR IBADAH. Sungguh berjuta fitnah tatkala akhir zaman mula menjengah fajar 2011 ini dengan pelbagai penipuan. Sedangkan seorang abid yang bernama barsisa itupun tersungkur di dalam ibadahnya, masakan kita yang masih belum mampu untuk beristiqamah walau dengan hanya 2 rakaat di kala manusia sedang enak tidur dibuai mimpi indah. Oleh yang demikian, penulis mengajak sidang pembaca sekalian untuk sama-sama kita bermuhasabah senantiasa agar kita sering menyedari khilaf kesilapan kita yang kita lakukan sehari-hari, semoga kita sedar bahawa kita ini tidak lebih hanyalah seorang pengembara yang sedang bermusafir di perjalanan.
Sidang pembaca yang budiman,
Sepertimana penulis rakamkan di dalam entri yang lalu, penulis menyatakan ingin menyambung perihal satu sikap yang perlu kita tanamkan di dalam diri iaitu BERSANGKA BAIK. Cukup penulis memberikan sebuah kisah yang penulis dengar sendiri daripada Syeikhuna As Syeikh Asyraf Al Hasani, beliau menceritakan, pernah satu ketika, sewaktu Syeikh Al Azhar As Syeikh Abdul Halim Mahmud pergi menziarahi Makam As Syarif Al Imam Husain di Kaherah, apabila beliau hampir masuk ke dalam ruang makam tersebut, beliau lantas sujud menghadap makam Al Imam Husain. Lantas, beliau ditegur oleh pengiring beliau. Maka beliau menjawab, aku bukan sujud ke arah makam Imam Husain, tetapi aku sujud di atas kesan tapak kaki Rasulullah. Kerana sesungguhnya ketika aku masuk sahaja ke dalam masjid ini, aku melihat Rasulullah sedang berjalan masuk ke dalam makam cucunya, maka aku ingin mencium kesan tapak kaki Rasulullah yang mulia itu.
Maka demikianlah kisah ringkas yang penulis bawakan kepada pembaca sekalian. Sungguh kita dapat melihat kepentingan BERSANGKA BAIK dalam kehidupan kita. Kisah itu juga menyatakan kita boleh bertemu Rasulullah secara jaga. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Al Imam Tirmizi yang disebutkan di dalam kitab Syamail Muhammadiah iaitu “ Sesiapa yang melihat aku di dalam mimpi, maka dia akan melihat aku di dalam keadaan jaga”. Permasalahan yang sering ditimbulkan oleh wahabi semakin ketara apabila mereka sering menuduh tanpa melakukan sebarang pertanyaaan dan usul periksa. Apabila melihat sahaja terdapat mereka yang sujud menghadap makam, terus disyirikkan. Adakah mereka itu mengetahui niat sujud tersebut? Adakah orang yang sujud tersebut memang mengqasadkan niat untuk menyembah makam tersebut? Dan lebih mudah lagi adakah mereka bertanya orang tersebut, atas niat apakah sujud kearah makam tersebut? Inilah masalah-masalahnya sidang pembaca sekalian. Seandainya sidang pembaca sekalian berada di Mesir dan sering menziarahi makam-makam, gambaran orang bersujud kearah makam, mencium pagar-pagar makam, adalah gambaran biasa bagi penulis. Hal ini kerana penulis sendiri pada awalnya ragu dan sangsi di atas perbuatan tersebut. Akan tetapi apabila kita mempunyai semangat untuk mencari sebenar-benar kebenaran, InsyaAllah Allah akan permudahkan. Ramai ulamak yang menunjukkan uswah dan pentarbiyahan mereka melalui tindak perbuatan mereka. Ada dalam kalangan mereka yang mencium pagar makam dan ada sebabnya. Ada dalam kalangan mereka yang sujud kearah makam, dan ada sebabnya yang didokong oleh hadis yang sohih. Oleh yang demikian, kita mencontohi mereka, kerana dengan mencontohi ulamak itu ada kejayaan yang akan mendatang. Begitulah kepentingan HUSNU DZON, kerana tanpa sifat ini, manusia mudah sahaja mengkafirkan saudara seislam mereka sendiri.
Sidang pembaca yang dirahmati Allah,
Dalam entri kali ini juga, penulis tertarik ingin berkongsi dengan sidang pembaca sekalian berkaitan kunjungan Imam Masjidil Haram iaitu Al Imam Sudais ke Malaysia, baru-baru ini. Kunjungan beliau ke Malaysia, semestinya dinanti-nantikan oleh kebanyakan rakyat Malaysia yang sering kedengaran bacaan nya di radio-radio mahaupun kaca tv. Suaranya yang lunak, sememangnya layak disanjung oleh jutaan umat islam yang sering berkunjung ke tanah suci Mekah. Namun, sedikit kemusykilan timbul yang telah dikesan melalui teks ucapan beliau, apabila beliau menyatakan bahawa menyambut kelahiran Rasulullah atau dengan bahasa mudahnya Sambutan Maulid Ar Rasul itu adalah satu perbuatan bid’ah yang sesat dan beliau menyatakan kesesatan orang-orang yang menyambutnya. Apa maksud sebenar beliau? Adakah beliau tergolong dalam golongan wahabi? Seandainya benar kata-kata beliau, adakah seluruh rakyat Malaysia, mufti, ulama’, ustaz-ustaz kita, kita semua berada di dalam kesesatan? Bukankah kita semua menyambut Maulid Ar Rasul setiap tahun? Cuba kalian semua fikirkan?
Penulis sekadar menggunakan kaedah berfikir, agar kalian dapat berfikir tentang keharusan menyambut Maulid Rasul. Sudah berkali-kali entri penulis, menceritakan keharusan menyambut Maulid Ar Rasul. Adakah dengan kalam yang keluar daripada seorang Imam Masjidil Haram, terus kita berubah fikiran sedangkan ulama’-ulama’ ahli sunnah yang terdiri dari keturunan Ghumariyyin, Al Attos, Al ‘Alawi, dan ramai ulama’ yan lain, semuanya menyatakan keharusan menyambut Maulid Ar Rasul. Tidak perlu penulis memberikan contoh yang jauh, mari kita lihat para mufti kita di Malaysia, tiada sebarang fatwa pun yang mereka sebut tentang bid’ahnya menyambut kelahiran Rasulullah ini. Hal ini kerana mereka mengetahui dalil-dalil tentang keharusan Maulid itu. Akan tetapi, atas sebab kehadiran seorang Imam Mekah yang kita rasa satu jawatan yang mulia, hadir ke Malaysia, kemudian menyatakan bahawa Maulid itu bid’ah yang sesat, terus kita mempercayainya. Begitu ceteknya aqal, begitu lembapnya pemikiran, andaikata terus menerima kata-kata beliau.
Penulis pada awal-awal lagi sudah berasa tidak senang dengan pendirian Imam Besar Mekah ini. Cukup penulis membawakan sebuah kisah yang penulis tak mampu nak kisahkan, lantaran teruknya pendirian Imam tersebut. Peristiwa ini berlaku ketika wafatnya seorang ‘alim besar, merupakan bintang ulama’ ahli sunnah wal jama’ah iaitu seorang ‘alim Mekah yang bernama Sayyid Muhammad ‘Alawi Al Maliki. Ketika wafatnya beliau di Mekah pada tanggal 15 Ramadhan, sedang berjuta umat islam menangisi pemergian beliau, muncul seorang manusia yang merupakan seorang imam tidak mahu menyembahyangkan jenazah Sayyid Muhammad dengan menyatakan bahawa jenazah beliau tidak layak disolatkan. Itulah dia manusia yang bernama Al Imam Sudais. Penulis mengajak sidang pembaca berfikir dengan lapang dada di atas kalam penulis tersebut. Bagaimana mungkin beliau tidak mahu mensolatkan jenazah seorang ‘alim ahli sunnah wal jamaah yang mewaqafkan seluruh kehidupannya dalam mempertahankan sunnah Rasulullah. Yang tidak mampu penulis sebutkan jasa, pengorbanan, murid-murid beliau melainkan penulis serahkan kepada sidang pembaca untuk mencarinya melalui sumber yang sohih. Apatah lagi beliau adalah seorang islam.
Sidang pembaca sekalian,
Sungguh banyak perkara yang kita belum tahu, perihal dunia ulama’. Carilah ulama’ yang sebenar-benar ‘alim, para masyaikh yang mengajar berlandaskan manhaj ahli sunnah wal jama’ah. Mungkin kebanyakan pembaca terkejut akan pendirian penulis terhadap Imam Sudais. Akan tetapi inilah pendirian mereka yang memahami dengan jelas isu Maulid ini. Sekadar ini dahulu penulis titipkan buat sidang pembaca sekalian. Sebarang teguran membina penulis alu-alukan dengan hati yang terbuka. Sungguh banyak pentarbiyahan dan ilmu yang penulis dapat, melalui majlis-majlis ilmu bersama para masyaikh disini. Sungguh beza di antara ilmu dan maklumat. Maklumat adalah apa yang kita dapat daripada kitab-kitab, akan tetapi ilmu hanya akan kita dapat melalui dada ulama’. Dua kalimat yang hampir sama maksudnya, akan tetapi berbeza kesannya.
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment