WAHAI SYEIKH, DENGAN KEBENARAN INI, SIAPAKAH ENGKAU SEBENARNYA?
Daripada Abdul Rahman Bin Ya’qub Bin Ishaq Bin Abbad Al Makki, beliau telah berkata: Telah datang kepada kami seorang syeikh dari Hirah ( nama sebuah tempat). Syeikh itu diberi gelaran sebagai Abu Abdullah. Beliau telah bercerita kepadaku sebuah kisah: Aku telah pergi ke telaga zamzam dan duduk di situ pada waktu sahur. Tiba-tiba datang seorang lelaki tua, dalam keadaan yang bertutup mukanya dengan kain. Beliau menuju kearah telaga zamzam, dan terus mencampakkan baldi ke dalamnya untuk meneguk air zamzam. Selepas lelaki itu selesai meneguk air zamzam tersebut, maka aku terus pergi mendapatkan baldi itu, untuk menghabiskan saki baki air yang masih tinggal di dalamnya. Namun yang ku rasai bukanlah air zamzam, akan tetapi sejenis air campuran tepung dan kacang ( sejenis air yang lazat di waktu itu) , dan aku tidak pernah merasa air selazat itu. Kemudian aku berpaling, namun aku mendapati lelaki itu telahpun berlalu..
Kemudian, pada waktu yang seterusnya,aku duduk lagi di kawasan telaga zamzam itu. Pada waktu itu, telah masuk lelaki yang ku temui pada waktu sahur itu, dalam keadaannya yang masih bertutup mukanya dengan kain. Setelah lelaki itu selesai meneguk air zamzam, segera aku mendapatkan saki baki air masih tersisa di dalam baldi itu. Maka di saat itu pula, aku merasa air tersebut adalah air yang telah dicampur dengan madu. Tidak pernah aku merasa air madu selazat itu. Kemudian, apabila aku berpaling, aku mendapati lelaki itu telah pergi..
Selepas itu, aku mengulangi perkara yang sama, iaitu duduk di kawasan telaga zamzam itu. Setelah lelaki itu menghampiri telaga zamzam, dan ingin mencampakkan baldi ke dalamnya, segera aku memegang hujung selendang putihnya, dan ku pusing-pusingkannya di tanganku agar beliau tidak lagi hilang dari pandanganku. Selepas beliau selesai minum, segera aku meneguk baki minumannya. Maka yang ku rasai adalah, sejenis air campuran susu dan gula. Tidak pernah ku menikmati air susu selazat itu. Maka aku berkata kepada lelaki itu, “ Wahai Syeikh, dengan kebenaran ini, siapakah engkau sebenarnya?” Syeikh itu menjawab : “ Adakah engkau akan menyembunyikannya?” Aku berkata : “Ya” Beliau berkata lagi : “ Sehingga kau mati?” Aku berkata : “Ya” Beliau menjawab “ Aku adalah Sufyan As Sauri”.
PERGILAH! KASIHI ABU BAKAR DAN UMAR, DAN SETIALAH KEPADA KEDUANYA
Daripada Ja’far Bin Muhammad As Sodiq, daripada ayanhnya, beliau telah berkata: Telah datang seorang lelaki (syiah) kepada ayahku, dan berkata : “Khabarkan kepadaku perihal Abu Bakar..” Ayahku berkata : “Mengenai As Siddiq, engkau bertanya kepadaku?” Lelaki itu menjawab : “Moga Allah merahmati engkau, engkau menggelarkannya As Siddiq ?!” ( terdapat golongan syiah yang mengkafirkan Saidina Abu Bakar, yang berpandangan Saidina Ali lebih utama daripada Saidina Abu Bakar) Ayahku membalas : “ Celakalah ibumu!, Sesungguhnya yang telah menggelarkan As Siddiq itu adalah seseorang yang lebih mulia daripada engkau dan aku, itulah Rasulullah, Muhajirin dan Ansar. Maka sesiapa yang tidak menggelarkannya As Siddiq, Allah tidak akan membenarkan kata-katanya di dunia dan akhirat. Pergilah kau! Dan kasihilah Abu Bakar dan Umar serta setialah kepada mereka.
TA’LIQAT MINAL MUALLIF
Apa yang dapat kita fahami daripada kisah di atas ialah keutamaan Saidina Abu Bakar As Siddiq sebagai Khalifah Mukminin selepas kewafatan Rasulullah S.A.W. Kekuatan iman beliau terhadap Rasulullah, dengan membenarkan segala kata-kata Rasulullah menyebabkan beliau digelar sebagai As Siddiq. Namun, terdapat segolongan Syiah seperti Syiah Rafidhah yang terlalu memuja Saidina Ali, tergamak mengutuk Saidina Abu Bakar, serta mencela Sayyidah Aisyah. Golongan Syiah ini terlalu memuja Saidina Ali, namun Saidina Ali berlepas diri daripada sanjungan mereka yang terlalu ekstrimis itu. Sebagaimana disebutkan sendiri oleh Saidina Ali “ Ingatlah, sesungguhnya terdapat kehancuran dalam dua hal, iaitu orang yang terlalu menyanjungi dan menyintaiku dengan sesuatu yang tidak aku miliki. Dan orang yang membenciku, yang kebenciannya itu menyebabkan dia mendustaiku” . Itulah dua golongan iaitu golongan syiah yang terlalu menyanjung Saidina Ali dan golongan khawarij yang terlalu membenci Saidina Ali . Hal ini sungguh berbahaya buat penganut Islam umumnya, andai fitnah syiah ini berleluasa. Di Malaysia khususnya, syiah sudah mula tersebar sebagaimana yang kita ketahui. Maka, menjadi kewajipan kepada kita, agar mendalami permasalahan syiah ini serta mengikuti perkembangannya. Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment