Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
" BERTAQWALAH KEPADA ALLAH DENGAN SEBENAR-BENAR TAQWA, DENGAN MELAKSANAKAN SEGALA SURUHANNYA DAN MENINGGALKAN SEGALA LARANGANNYA, MOGA-MOGA TERGOLONG DALAM KALANGAN ORANG YANG BERUNTUNG "
Para sahabat yang dirahmati Allah sekalian,
Dewasa ini, dunia menyaksikan betapa manusia itu semakin jauh daripada norma-norma kehidupan Islam yang sebenar, yang menjadikan manusia itu semakin jauh dan semakin sesat dari Jalan Allah Taala. Bala ( keruntuhan akhlak dan sebaginya ) yang turun, jelas menunjukkan betapa perlunya untuk kita bermuhasabah perihal sebab dan musabab kepada turunya bala tersebut. Mengapa penulis mengatakan manusia semakin jauh daripada jalan yang sebenar? Hal ini tidak lain disebabkan kurangnya pemahaman yang sebenar mengenai Islam itu sendiri, dari segi TAUHID, SYARIA'H mahupun AKHLAK.
Apabila kita berbicara mengenai TAUHID, kita sering mengajukan persoalan kepada masyarakat mahupun sahabat handai, tentang sejauh manakah pemahaman kalian dalam mengetahui TAUHID yang sebenar lagi sohih,,? Kebanyakan daripada mereka pasti akan menjawab bahawa TAUHID itu, terbahagi kepada tiga iaitu tauhid uluhiyyah, tauhid rububiyyah dan asma' wa sifat. Hatta, dalam ceramah penulis sendiri baru-baru ini di Maktab Perguruan Raja Malewar, bakal-bakal guru ini pun masih lagi hanya memahami dengan tauhid tiga. Jadi,,inilah dia bala yang paling besar yang diturunkan Allah ke atas umat Islam, disebabkan pegangan tauhid ini. ( sila rujuk status fb penulis dalam memahami kerapuhan tauhid tiga ini )
Namun, ramai yang hanya menganggap ini hanyalah permasalahan furu'. Perkara kecil yang tidak perlu dihebohkan. Bagaimana mungkin kita boleh menganggap TAUHID adalah masalah kecil? Mereka hanya sibuk ingin menegakkan daulah islamiyah, kemudian mencela golongan yang kononnya tidak menyokong daulah islamiyah. Penulis sama sekali tidak menolak daulah islamiyah, akan tetapi bagaimana daulah islamiyah yang sohih berjaya dibina, andai umat islam itu sendiri tidak mengetahui tauhid sebenar mereka?Mendakwa kononnya apabila tidak berpolitik, bermakna menyokong pemerintah yang zalim.
Kemudian, para da'ie muda, da'ie lepasan Azhar, yang telah selesai pembelajaran, terus beraksi di medan dakwah dan terus merasakan dialah hero yang menyelamatkan umat islam di Malaysia khususnya. Baru selesai berprogram di sesebuah tempat, terus dihebohkan dan dengan bangganya mengatakan, ' Dimanakah lepasan-lepasan Azhar yang lain? contohnya ' . Mencela golongan yang kononnya tidak bercampur dengan masyarakat. Ini juga adalah satu masalah bagi seorang pendakwah. Mereka merasakn metod mereka ( dengan menyertai politik ) adalah cara yang terbaik dalam berdakwah. Sepatutnya kita menghormati metod masing -masing dalam berdakwah, dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Bukan penulis mengharapkan yang betul-betul sempurna dalam berdakwah, sekurang-kurangnya kita faham secara dasar apa pegangan TAUHID kita, memahami serba sedikit HUKUM HAKAM, serta bertindak bijak dalam mempraktikkan akhlak yang sempurna dalam berdakwah.
Para sahabat yang dirahmati Allah sekalian,
Suka penulis menekankan disini, bahawa menuntut ilmu secara talaqqi itu adalah cara yang sebenar dalam mendapatkan ilmu. Segaimana disebut Ibnu Ruslan di dalam Matan Zubad, " SESIAPA YANG TIADA GURU, MAKA CARILAH,,". Secara jujurnya, penulis bukanlah orang yang punya himmah yang tinggi dalam menuntut ilmu berbanding sahabat penulis yang lain. Sekadar menerima tempias daripada mereka sahaja. Alhamdulillah, ada keberkatan yang penulis perolehi disana. Oleh hal yang demikian penulis menyeru para sahabat, khususnya di Mesir, agar dapat sama-sama meningkatkan himmah dalam menuntut ilmu.
Demikianlah muqaddimah ringkas daripada penulis dalam edisi penulisan kali ini. Penulis ingin mengajak para sahabat sekalian untuk mengenali, biografi ringkas seorang alim unggul, selaku pengganti Musnid Dunya As Syeikh Yasin Fadani iaitu As Syeikh Hamid Alawi Al Kaf. Semoga Allah memanfaatkan kita dengan ilmunya, ilmu syeikhnya dan seluruh orang-orang yang soleh.
As Syeikh Hamid Alawi Al Kaf
Di rumah As Syeikh As Sayyid Hamid Alawi Al Kaf di Mekah Al Mukarramah
Seusai menerima Ijazah Musalsal Bil Imamah ( serban), Talqin zikir, Ratib Haddad, Hizib Nawawi, Musalsal bil Musofahah.
" adapun dengan nikmat Allah itu, ceritalah,,"
Di antara ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah bermazhab Syafi`i yang masih hidup dan berbakti menabur ilmu di Kota Suci Makkah al-Mukarramah adalah al-Habib Hamid bin `Alwi bin Salim bin Abu Bakar al-Kaaf al-Husaini asy-Syafi`i al-Makki hafizahullah. Beliau dilahirkan pada hari Ahad 25 Sya'baan 1345H di Banjarmasin, Kalimantan, Indonesia. Dibesarkan dalam keluarga mulia dan mula menuntut ilmu di bawah asuhan ayahanda beliau sendiri. Ayahanda wafat di Makkah ketika beliau masih kecil, lalu beliau meneruskan persekolahannya di Banjar sebelum pergi ke Surabaya untuk bersekolah di Madrasah al-Khairiyyah pada tahun 1360H. Di sana beliau belajar selama 3 tahun dan di antara guru beliau adalah Syaikh `Umar Baraja`, Habib Salim bin `Aqil dan lain-lainnya. Setelah 3 tahun di madrasah tersebut, beliau kembali ke Banjarmasin dan meneruskan pengajian di Ma'had Darus Salam ad-Diniyyah di Martapura. Antara guru beliau di sini adalah Syaikh Muhammad Sya'raani bin `Arif, Syaikh Husain Qudri dan Syaikh Abdul Qadir Hasan. Pada tahun 1367 beliau ke Makkah untuk menunaikan fardhu haji dan untuk menuntut ilmu di sana. Beliau menuntut di Masjidil Haram selama 4 tahun sebelum masuk ke Darul Ulum ad-Diniyyah pada tahun 1371 sehingga selesai pengajian di sana pada tahun 1373H. Setelah tamat pengajian, beliau mula mengajar berbagai ilmu seperti fiqh, usul, hadis, nahu, falak dan ilmu-ilmu alat, sehingga menjadi antara ulama yang mengajar dalam Masjidil Haram selain menjadi guru di Madrasah Ulum ad-Diniyyah, Makkah. Beliau juga pernah dilantik menjadi setiausaha Majlis Syura dan sehingga kini beliau menjadi ahli fatwa (mufti) Kedutaan Indonesia di Arab Saudi. Beliau juga terkenal sebagai seorang ulama yang mahir dalam ilmu-ilmu hadits dan falak sehingga beliau digelar sebagai al-`Allaamah al-Muhaddits al-Falaki.Antara guru-guru beliau yang lain adalah Syaikh Muhammad Yaasin al-Fadani di mana beliau mempunyai ikatan yang erat dengan Syaikh Muhammad Yaasin sehingga beliaulah yang menjadi khalifah beliau dan kini beliau tetap terus mengajar di halaqah Syaikh Muhammad Yaasin pada setiap malam Rabu di Syari' Sittin. Semoga Allah memberikan umur yang panjang kepada beliau dalam sempurna kesihatan lagi banyak keberkatan.
Wallahu a'lam.
ilham_writing
Istana Bukhori, Seksyen 7,
Bandar Kaherah, Mesir.
Malam Jumaat / 7.35 malam
No comments:
Post a Comment