Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
" BERTAQWALAH KEPADA ALLAH DENGAN SEBENAR-BENAR TAQWA, DENGAN MELAKSANAKAN SEGALA SURUHANNYA DAN MENINGGALKAN SEGALA LARANGANNYA, MOGA-MOGA TERGOLONG DALAM KALANGAN ORANG YANG BERUNTUNG "
Al Azhar, suatu masa dahulu.
Sidang pembaca Yang Dirahmati Allah,
Perjalanan seorang hamba dalam menuntut ilmu adalah salah satu kemuliaan yang besar di sisi Allah Taala. Sebagaimana disebut oleh Rasulullah S.A.W. yang bermaksud " Sesiapa yang menempuh satu jalan, untuk mencari ilmu, maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan ke Syurga. " Jelas terang dan nyata bahawa Allah mengangkat darjat, seseorang yang pergi berjalan untuk menuntut ilmu dengan mempermudahkan baginya jalan ke Syurga. 'Ala kulli hal, semuanya itu, tidak lain tidak bukan pembakar semangat agar lebih bersungguh-sungguh untuk pergi menambahkan ilmu pengetahuan dengan mengadap masyaikh. Hadis ini juga jelas menunjukkan kepada kita bahawa, kaedah untuk mendapatkan ilmu adalah dengan mencarinya bukan hanya menunggu dan terus menunggu.
Juga disebut di dalam Matan Zubad oleh Immam Ibnu Roslan, : "Sesiapa yang tidak mengetahui, hendaklah dia bertanya, dan sesiapa yang tidak mempunyai guru, hendaklah dia pergi mencarinya ". Inilah Manhaj zaman berzaman oleh para Ulama' Salafus soleh, iaitu memperolehi ilmu dengan bermusafir berbatu-batu jauhnya. Pelbagai kisah yang boleh kita dapati dalam menunjukkan permusafiran seseorang alim itu, dalam memperoleh ilmu. Sebagai contoh, Imamuna As Syafie, bermusafir ke Madinah untuk mengadap Imam Malik. Dan contoh yang paling dekat ialah, Syeikhna As Syeikh Mahmud Said yang telah bermusafir ke Mekah untuk mengadap masyaikh di sana. Maka, inilah manhaj yang perlu kita contohi dan teladani dalam meraih sesuatu ilmu.
Namun, manhaj ini semakin lama, semakin hilang di kalangan sebahagian penuntut ilmu yang semakin kelam dan malas dalam menuntut sesuatu ilmu. Sekarang ini, manhaj yang dipegang adalah dengan membaca majalah, mengadap tv dan sebagainya. Hal inilah yang menyebabkan kebobrokan manhaj sebenar ahli ilmu. Oleh itu penulis menyarankan agar sidang pembaca sekalian dapat memahami manhaj dan seterusnya melaksanakannya di dalam kehidupan seharian kita.
Sidang pembaca yang dirahmati Allah sekalian,
Kemudian, penulis ingin menyambung entri terakhir dalam siri Muhadoroh Habib Yusuf. Beliau menambah, Sesungguhnya hendaklah engkau menjaga lidahmu, di dihadapan ulama' dan engkau hendaklah menjaga hatimu di hadapan Auliya'. Sesungguhnya para ulama' itu adalah golongan yang sangat dimuliakn Allah Taala, lantaran kemuliaan ilmu disisi Allah. Sesungguhnya terdapat dua pintu yang boleh melayakkan seseorang itu bergelar wali ataupun mencapai peringkat wali, iaitu pintu ilmu dan pintu zikir. Makanya, seelok-eloknya kita mempersiapkan diri kita dengan bekalan ilmu yang mencukupi sebelum kita mengadap seseorang guru itu. Pernah diceritakan oleh Syeikhna As Syeikh Mahmud Said Mamduh, ketika mana di dalam pengajian Syeikh Yasin Fadani. Seperti biasa, anak murid akan membacakan kitab dihadapan gurunya dan yang lain akan mendengar. Andai gugur satu baris, atau terdapat kesilapan dalam satu baris, maka syeikh Yasin akan terus memandang dengan pandangan yang sangat tajam ke atas Muqri' tersebut. Juga murid yang lain, akan memandang kepada muqri tersebut. Hal itu merupakan satu aib, yang memang tidak patut dilaksanakan oleh seseorang ahli ilmu di hadapan gurunya.
Seterusnya, Habib Yusuf menambah dengan menjelaskan satu ayat daripada surah Al Fatihah yang bermaksud " Engkau sahajalah Tuhan yang aku sembah dan kepada Engkau sahajalah aku memohon pertolongan " Kebanyakan daripada golongan manusia yang bersembahyang,tidak khusyu' ketika bersolat. Hal ini kerana, dalam waktu dia menyatakan hanya Allah sahaja yang layak disembah, akan tetapi di fikirannya, memikirkan hal-hal keduniaan, seakan-seakan mempermainkan ayat bahawa hanya Allah yang layak disembah. Andai kita fokus dan khusyu' sudah pasti dengan penuh kerendahan kita menyatakan bahawa Allah sahaja yang layak disembah tanpa memikirkan hal-hal lain, yang langsung tidak berkaitan di dalam solat kita. Selain itu, kita perlu mengetahui bahawa dengan menjauhi dosa kecil, itu bermakna kita menjauhi dosa besar, dan menjauhi dosa besar bermakna kita menjauhi kekufuran. Maka, kunci untuk jauh daripada kekufuran adalah dengan menjauhi dosa kecil. Moga Allah mempermudahkan kita, dan segala urusan kita di dunia, agar di bawah rahmat dan kasih daripada Allah Taala.
Demikianlah huraian ringkas yang ingin penulis kongsikan berddasarkan Muhadoroh Habib Yusuf. Di sana, terdapat tambahan dan talkhis daripada penulis endiri, sekadar untuk memahamkan sidang pembaca sekalian, Andai terdapat di sana kekurangan mahupun kesilapan, penulis dengan berlapang dada menerima segala kritikan membina bagai memastikan penulisan ini menjadi lebih baik. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment