Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
" BERTAQWALAH KEPADA ALLAH DENGAN SEBENAR-BENAR TAQWA, DENGAN MELAKSANAKAN SEGALA SURUHANNYA DAN MENINGGALKAN SEGALA LARANGANNYA, MOGA-MOGA TERGOLONG DALAM KALANGAN ORANG YANG BERUNTUNG "
Sidang pembaca yang dirahmati Allah,
Perjalanan menuju Allah Taala, adalah satu perjalanan yang sukar dan mencabar, kerana di sepanjang perjalanan, kita di iringi dengan nafsu yang sering bersama kita ke mana jua arah yang kita tuju. Nafsulah yang menyebabkan seseorang itu, banyak terpesong daripada jalan yang sebenar dalam menuju Allah. Ada yang tersungkur dibentes nafsu, namun berjaya untuk bangkit dan meneruskan perjalanan, dan tidak kurang juga yang terus tersungkur tanpa sebarang daya untuk bangkit. Hal inilah yang menjadi kerisauan bagi kita, andai kita tidak mampu untuk bangkit semula dalam menempuhi saki-baki perjalanan yang masih tersisa.
Oleh hal yang demikian, Allah mengutuskan seorang Nabi, bagi menunjukkan panduan dan arah yang benar dalam menempuhi perjalanan yang berliku ini. Namun , Rasulullah telah pun pergi meninggalkan kita. Maka siapakah lagi yang kita harapkan untuk membimbing kita.? Maka jawapannya sudah tentulah para 'ulama' .Sebagaimana disebut " Ulama itu pewaris nabi " . Daripada merekalah, kita dapat mengetahui bagaimana perjalanan hidup yang tepat dalam menempuhi kehidupan ini.
Dalam entri kali ini, suka penulis kongsikan bersama sahabat-sahabat dan sidang pembaca sekalian, perihal satu ceramah yang telah disampaikan oleh Habib Yusuf Bakhur Al Hasani, dalam satu majlis muhadoroh 'ammah di rumah kelantan, Republik Arab Mesir, kelmarin. Tokoh sufi unggul yang masih diberikan kesempatan oleh Allah kepada umat yang amat dahagakan pentarbiyahan jiwa melalui lisan beliau. Sesungguhnya hati-hati yang bersih lantaran zikir yang berterusan, adalah satu sumber cahaya yang bersinar , yang berjalan di muka bumi. Tidaklah akan diketahui cahaya itu, melainkan orang yang punya cahaya juga.
Setiap manusia telah Allah campakkan cahaya di hati-hati hambanya. Namun, sejauh mana kekuatan cahaya itu bergantung kepada sejauh mana ketaatan yang dilakukan dan kemaksiatan yang dilakuan. Seandainya maksiat melebihi taat, sudah pasti semakin malaplah cahaya itu. Di antara perkara yang boleh dikongsikan daripada ceramah beliau ialah, tasawwuf adalah satu perkara yang mudah iaitu dengan melaksanakan segala syariat yang telah Allah wajibkan kepada kita. Dari sudut aqidah, ibadah dan akhlak. Oleh yang demikian, beliau menjelaskan penjelasan yang cukup mudah bagi memahami tasawuf. bagi kita penuntut yang masih belajar.
Tambah beliau lagi, sepanjang fatrah remaja ini, jadikanlah setiap amalan itu dalam keadaan ketaatan terhadap Allah, kerana semua yang kita lakukan ketika remaja akan memberi kesan ketika tua nanti. Ilmu yang dipelajari juga hendaklah dimanfaatkan dengan cara melaksanakan segala yang dipelajari. Ilmu itu bukan dituntut untuk sekadar menambah pengetahuan, akan tetapi perlulah dipratikkan. Sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibnu Roslan di dalam Matan Zubad, " Maka orang yang berilmu yang tidak mengamalkan ilmunya, akan diazab terlebih dahulu daripada penyembah berhala"
Sesungguhnya di akhirat nanti, Allah tidak akan bertanyakan tentang apa yang kita belajar , akan tetapi Allah akan bertanyakan tentang apa yang telah kita amalkan daripada apa yang telah kita pelajari. Justeru itu, kita perlu mempuyai matlamat daripada apa yang kita lakukan ketika di dunia ini. Dengan adanya matlamat, barulah kita mempunyai perancangan untuk mencapai matlamat itu. Sekiranya tiada tujuan, dalam tindakan seharian kita, sudah pasti tiada perancangan. oleh itu apakah gunanya kita hidup? Jadi perkara itulah, yang dapat kita simpulkan disebalik pengamalan ilmu. Maka tujuan kita belajar adalah untuk mengamalkannya, itu sahaja.
Beliau menambah lagi, dalam perjalanan ilmu ini juga, sudah pasti kita akan menyampaikan kepada orang. Sebagaimana disebut : " Berbicaralah kepada manusia mengikut kadar pemahaman aqal mereka sahaja. " Seandainya kita bercakap melebihi kadar pemahaman mereka, maka itu bermaksud kita sudah menzalimi mereka. Atau boleh juga disebut, kita tidak adil. Apakah maksud adil? Adil bermaksud, meletakkan sesuatu pada tempatnya. Lawan adil ialah zalim. Makanya, berlaku adillah bagi mereka yang rendah mentaliti pemikirannya dalam memahami sesuatu perkara dengan menyampaikan sekadar mampunya sahaja.
Inilah penjelasan ringkas yang cuba penulis kongsikan kepada sidang pembaca sekalian. Ini hanyalah sedikit, yang ingin dikongsikan, adapun yang lainnya akan penulis muatkan dalam entri yang akan datang. Moga sahabat dapat mengambil iktibar dan pengajaran seterusnya mengamalkan segala yang dipelajari. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment