PENGAJIAN HARI SELASA,
2 RAMDAHAN 1432 H.
(Gambar hiasan)
AKU BERKONGSI DENGANMU, KERANA ENGKAU BERDOA DAN AKU YANG MENGAMINKAN
Daripada Ibnu Wabhin ( beliau adalah Abdullah Ibnu Wahab Ibnu Muslim Al Basri, Al Muhaddiht, Al Faqih dan juga merupakan antara sahabat Al Imam Malik. Abu Nuaim telah menyebutkan tentang beliau. Beliau telah wafat disebabkan ketakutan dan kesedihan. Disebutkan di dalam Kitab Hilyah Auliya’ dan Siyar A’lam Nubala’ , bahawa beliau meninggal dunia selepas 3 hari dibacakan kepadanya Kitab Ketakutan dan kegerunan Hari Kiamat ) telah berkata : Aku telah mendengar Al Laith Ibnu Saad berkata: Sesungguhnya aku menunaikan Haji pada tahun 113 hijrah, maka aku pun datang ke Mekah. Kemudian, selepas aku menunaikan solat Asar, aku mendaki JabaL Qubais.
Setelah sampai di atas, aku melihat ada seorang lelaki sedang duduk dan berdoa dengan berkata:
“ Ya Rabb” sehingga terputus nafasnya.
Kemudian berkata lagi, “ Ya Rabb” sehingga terputus nafasnya.
Dan berkata lagi, “Rabb, Rabb, Rabb” sehingga terputus nafasnya.
Kemudian lelaki itu berkata lagi: Wahai yang Amat pengasih dari segala yang pengasih, tujuh kali sehingga terputus nafasnya.
Dan berkata: Ya Allah aku amat menginginkan untuk memakan buah anggur, maka kurniakanlah aku rezeki itu dan juga dua helai burdah (selendang) untuk ku.
Telah berkata Laith, Maka Demi Allah, belum pun selsesai daripada doa-doanya, aku telah melihat sebuah bakul yang dipenuhi dengan anggur, padahal pada ketika itu bukanlah waktu anggur berbuah berserta disisinya dua helai burdah.
Maka lelaki itu ingin memakannya, terus aku berkata : “Aku berkongsi denganmu!.”
Lelaki itu berkata kepadaku : “Bagaimana boleh jadi begitu?”
Aku berkata: “Kerana engkau berdoa, dan aku yang mengaminkannya.”
Maka lelaki itu pun berkata : “Mari, dan makanlah. Jangan tinggalkan sedikitpun daripada anggur ini.”
Aku mendatanginya, maka aku pun memakan anggur itu, dan aku merasakan bahawa tidak pernah aku menjamah anggur yang selazat itu. Jenis anggur yang tidak berbiji. Maka akupun memakannya sehingga ku merasa kenyang, sehingga habis anggur itu tanpa bersisa.
Lelaki iu berkata: “Ambillah salah satu burdah yang paling kau sukai.”
Aku membalas: “Adapun burdah itu, aku tidak memerlukannya.”
Lelaki itu membalas : “Berpalinglah, sehingga aku selesai memakainya.
Aku pun berpaling. Satu dipakainya dibawah, dan satu lagi dipakai di atas. Kemudian, lelaki itu membawa baju lamanya di tangannya. Beliau pun turun, dan aku menyertainya sehinggalah sampai di kawasan Sa’ie.
Telah berjumpa lelaki dengan seorang lelaki yang memintakan pakaian dengan berkata “ berilah aku pakaian, moga oleh mengurniakanmu pakaian, wahai anak Rasulullah. Maka lelaki itu memberikan pakaian yang ada di tangannya. Kemudian aku mendampingi lelaki yang meminta pakaian itu, dan bertanya “ siapa lelaki itu?” dia berkata “Lelaki itu ialah Saidina Ja’far Ibnu Muhammad Al Baqir.
Telah berkata Laith: Maka aku mencarinya untuk mempelajari sesuatu daripadanya, akan tetapi aku langsung tidak menjumpainya.
TA'LIQAT MINAL MUALLIF:
Kisah di atas banyak memberikan pengajaran kepada kita , dalam mendidik diri agar mencintai para kekasih Allah yang bertebaran di muka bumi ini. Selain itu juga, kisah ini mengajar kita betapa besar kedudukan Ahli Bait Rasulullah S.A.W. serta ketinggian martabat mereka disisi Allah.
Pada hari ini kita dapat melihat, berapa ramai dalam kalangan umat islam sendiri yang menghina Ahli Bait , sama ada dari kalam-kalam mereka mahupun penulisan. Hal ini adalah satu musibah yang amat berat melanda umat islam keseluruhannya. Sudah terang jelas terang dan nyata, bahawa sesiapa yang menghina Ahli Bait, ini bermakna telah menghina Rasulullah, dan sesiapa yang menghina Rasulullah, bererti telah menghina Allah. Dan barangsiapa tergamak menghinakan Pencipta, sudah pasti neraka lah sabaik-baik tempat baginya.
Satu perkara yang sering kita terlepas pandang, mungkin terdapat sebahagain daripada sahabat-sahabat kita yang bersambung keturunannya sampai kepada Rasulullah S.A.W. , namun melihat kepada akhlaknya, tidak lebih seperti syaitan yang bertopengkan manusia. Maka kita pun dengan sesuka hati mengutuk " harap je keturunan nabi, perangai cam azazil".
Astaghfirullah !!, sila ambil perhatian sahabat-sahbat sekalian. Sekali kita berbicara seperti itu, terhadap Ahli Bait Rasulillah, sudah pasti Rasulullah akan terus memalingkan wajahnya untuk memandang wajah kita. Kita perlu faham, penulis sendiri pernah berjumpa segelintir Ahli Bait yang berperangai begitu, namun jangan sesekali kita menisbahkan kejahatannya dengan keturunannya yang mulia. Kejahatan yang dibuat adalah dari dirinya sendiri, bukannya daripada keturunannya yang mulia.
Kemudian, mengenai manaqib Saidina Ja'far Ibnu Muhammad Al Baqir, penulis serahkan kepada pembaca sekalian untuk mencarinya dari mana - mana sumber yang dipercayai. Bacalah kisah-kisah orang-orang soleh kerana di sana terdapat pelbagai hikmah dalam mendidik hati dan jiwa.
wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment