Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
" BERTAQWALAH KEPADA ALLAH DENGAN SEBENAR-BENAR TAQWA, DENGAN MELAKSANAKAN SEGALA SURUHANNYA DAN MENINGGALKAN SEGALA LARANGANNYA, MOGA-MOGA TERGOLONG DALAM KALANGAN ORANG YANG BERUNTUNG "
Segala puji bagi Allah yang telah memberikan kesempatan kepada hambanya untuk terus menambahkan bekal dan amalan di dunia ini. Nikmat umur yang diberikan tidak lebih hanya untuk memberikan peluang agar manusia dapat mempertingkatkan ibadah sekaligus memberi ruang untuk bertaubat daripada segala dosa.
Alhamdulillah, dengan nikmat kesihatan yang Allah kurniakan kepada Syeikh Mahmud Said Mamduh, dapat kami para ahbabnya dalam berkumpul di dalam majlis ilmu beliau di rumahnya. Majlis ilmu serta Maulid ini, berlangsung setiap hari jumaat selepas solat Maghrib setiap minggu. Majlis ilmu dan Maulid ini juga disertai dengan Pengijazahan Musalsal melalui kitab yang telah disusun oleh syaikhu syaikhina iaitu As Syeikh Yasin Fadani.
Adapun pengajian harian oleh Syeikh, ditangguhkan buat sementara waktu berikutan, musim peperiksaan yang sedang berlangsung buat seluruh Azhariyyun di bumi Mesir ini. Kitab yang dibincangkan setiap hari ini ( kecuali hari jumaat ) ialah kitab Minhaj At Tolibin, Bulughul Murom, dan sesi hafalan Matan Zubad ( matan fiqh As Syafie ) .
Mulazamah dan suhbah ini sangat-sangat memberikan satu rasa mahabbah yang cukup mendalam dalam diri penulis khususnya. Sehinggakan diri ini merasakan tidak mahu mengadap masyaikh yang lain dalam menadah mutiara ilmu di bumi Mesir ini. Tempias keberkatan ini, adalah hasil usaha sahabat saya yang mampu bermuamalah dengan para masyaikh khususnya Syeikh Mahmud. Mulazamah dan suhbah ini juga, adalah hasil saranan Syeikh Muhammad Fuad yang disampaikan oleh sahabat saya ini, agar menjadikan Syeikh Mahmud sebagai sumber utama untuk menadah ilmu.
Kesungguhan Syeikh Muhammad Fuad ini terzahir, hasil penyewaan sebuah syaqoh ( rumah ) di bawah rumah Syeikh Mahmud, sebagai salah satu tempat persinggahan Syeikh Fuad apabila berkunjung ke Mesir. Alhamdulillah, dengan berkat kurniaannya, rumah ini juga menjadi tempat munaqosyah serta muzakarah buat seluruh Ahbab Syeikh Mahmud selepas selesai sahaja pengajian. Hal ini adalah bertitik tolak daripada amanat Syeikh Mahmud sendiri, yang mengarahkan para ahbabnya agar membincangkan kembali segala syarahannya di dalam pengajian. Hasil daripada munaqosyah ini, sangat memberikan impak yang positif kerana kesemua ahbab dapat memahami dengan jelas segala syarahan Syeikh Mahmud yang diketuai oleh sahabat saya iaitu Tariq Jafri.
Amanat Syeikh Mahmud ini, adalah berdasarkan pemerhatian beliau, apabila melihat para ahbab seakan tercengang mendengar syarahan syeikh. Munaqosyah ini berlalu di sekitar bab permasalahan fiqah. Kitab Minhaj Tolibin yang disusun oleh Imam Nawawi itu mepunyai lafaz-lafaz serta istilah yang perlu diperbincangkan agar seluruh ahbab dapat memahami maksud yang ingin disampaikan. Lebih-lebih lagi dalam membincangkan permasalahan haid, kebanyakan ahbab agak sukar untuk memahami dengan jelas. Namun, segala puji bagi Allah yang memudahkan urusan hambanya, permasalahan demi permasalahan berjaya dibincangkan dalam munaqosyah dan muzakarah itu.
Beliau juga sangat menitikberatkan kepada pemahaman walaupun sedikit. Itulah yang sering dilakukan oleh beliau di setiap pengajiannya. Kadang kala, hanya mengadap satu baris sahaja daripada kitab Minhaj Tolibin. Itulah penekanan yang diberikan oleh Syeikh Mahmud kepada ahbab agar mengambil berat dalam permasalahan fiqh. Beliau juga sering berkata, bahawa di Malaysia nanti kamu semua adalah bakal mufti yang bakal menjadi rujukan kepada orang-orang yang tidak memahami masalah-masalah ini.
Moga Allah memanjangkan umur masyaikh kami, khususnya Syeikh Mahmud Said Mamduh dan memanfaatkan kami dengan ilmunya dan seluruh orang-orang yang soleh.
ilham_original
Bait bukhori, Madinah Nasr,
Hayyu Sabi', Kaherah
Republik Arab Mesir.
No comments:
Post a Comment